The Elite Navy Paskal or KD Panglima Hitam, SOF of The Royal Malaysian Navy (RMN). Pic Credit@DSOP
Oct 15, 1998
Paskal hanya untuk yang bersemangat waja
Begitulah antara ungkapan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Ramli Mohd Noor, ketika menerima Beret Kehormat Paskal sebagai mengenang jasa beliau menaikkan imej pasukan itu.
Beliau kini menjalani latihan peralihan menjelang persaraannya pada awal tahun depan, telah menyerahkan tugas sebagai Panglima Tentera Laut kepada Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Abdul Jamal.
Penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Pegawai Memerintah Paskal, Komander Nasaruddin Othman di Pangkalan TLDM, Lumut, baru-baru ini. Penganugerahan ini adalah kali kedua ditawarkan kepada Ahmad Ramli, selepas tawaran penganugerahan pertama ditolak kerana beliau belum cukup bersedia untuk menerimanya.
Ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau yang melahirkan rasa terharu berkata: ''Saya berasa amat bersyukur di atas penganugerahan beret kehormat ini, dan menerimanya dengan rasa penuh ikhlas dan terharu. ''Seperti kita semua sedia maklum, untuk dianugerahkan dengan beret ini, seseorang itu perlu melalui liku-liku dan cabaran semasa berkursus di mana daya fikir, kekuatan fizikal dan daya ketahanan mental yang tinggi diuji sebelum berjaya,'' katanya.
Menurutnya, pasukan Paskal pada awal penubuhannya secara rasmi ditugaskan untuk mengawal dan mempertahankan stesen-stesen luar pantai yang dituntut oleh negara. Kemampuan Paskal terbukti diiktiraf dan seterusnya telah melalui proses perubahan dan peningkatan apabila pada 26 Ogos 1991, Badan Keselamatan Negara telah menetapkan bahawa Paskal adalah pasukan penggempur di dalam operasi melawan keganasan di pelantar minyak/gas dan kapal dagang serta bertindak sebagai satu elemen dalam Pasukan Aturgerak Cepat (PAC), iaitu operasi amfibia (darat dan laut).
Paskal, adalah pasukan elit kebanggaan TLDM khasnya dan negara amnya, selain keunikan pasukan ini kerana keupayaan mereka yang serba boleh bagi melakukan pelbagai operasi berbahaya.
Untuk layak memakai beret komando Paskal ini, bukanlah sesuatu pencapaian yang mudah kerana mereka perlu menjalani latihan intensif yang menguji ketahanan fizikal dan mental, mampu melakukan pelbagai tugas yang mungkin sukar dilakukan oleh anggota tentera biasa.
Kriteria untuk melayakkan seseorang menganggotai Paskal bukanlah mudah kerana mereka perlu menempuh latihan-latihan asas komando seperti Kursus Asas Komando Paskal, Penyelam Kapal, Penyelam Tempur Oksigen, Asas Payung Terjun, Tempur Jarak Dekat dan Tempur Tanpa Senjata.
Selain itu, mereka juga perlu melepasi halangan antaranya berenang 1.5 kilometer dalam tempoh 31 minit, berenang dalam keadaan tangan dan kaki diikat (drown proofing), menyelam tanpa peralatan menyelam sedalam tujuh meter dan menyelam dengan menggunakan set penyelam sedalam 75 meter. Walaupun latihan yang bakal dilalui oleh seseorang itu begitu sukar sebelum layak bergelar komando, ia bukan suatu perkara yang mustahil malah kemampuan bergelar sebagai seorang anggota Paskal, adalah suatu kepuasan bagi mereka yang gemarkan kelasakan dan cabaran yang benar-benar diuji.
Turut hadir menyaksikan penganugerahan Beret Kehormat Paskal itu ialah Panglima Armada, Laksamana Muda Datuk Mohd Hussin Tamby (sekarang Timbalan Panglima Tentera Laut); Asisten Ketua Staf Rancang dan Operasi, Laksamana Pertama Ramlan Mohamed Ali; Inspektor Jeneral TLDM, Laksamana Pertama Ibrahim Jawi dan para pegawai kanan TLDM serta pegawai dan anggota Paskal.
Sejak ditubuhkan pada 1 Oktober 1982, TLDM telah melatih banyak anggotanya menganggotai Paskal dan menjadi salah satu pasukan komando yang elit dan dikenali serta disegani di dalam dan luar negara.
Ini terbukti apabila terdapat pegawai dan anggotanya yang dihantar berkursus ke luar negara seperti Indonesia, Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom telah mencapai keputusan yang membanggakan.
Latihan-latihan yang dijalankan dengan negara-negara luar antarannya Paskal/SASR di Perth dan Paskal/SEAL di Guam, Amerika Syarikat, telah menaikkan nama pasukan ini dan TLDM di peringkat antarabangsa.
Selain itu, pasukan itu juga turut melaksanakan operasi-operasi khas serta latihan. Antaranya ialah Latihan Jerung Emas, Naga Emas, selain latihan gabungan dan latihan bersama, telah membuktikan bahawa Paskal sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Pasukan ini juga, mampu mengendalikan kursus-kursus seperti Kursus Asas Komando Paskal, Kursus Kerjaya Anggota LLP, Kursus Tempur Jarak Dekat dan Kursus Penyelam Tempur.
Di bidang sukan pula, anggota Paskal telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan iaitu sama ada di peringkat unit hinggalah ke peringkat antarabangsa.
Menurut Ahmad Ramli lagi, bagi melicin dan memantapkan lagi pentadbiran pasukan Paskal, TLDM telah merancang beberapa projek pembangunan di masa hadapan.
Antara projek itu ialah pembinaan bangunan baru, bangunan khas untuk latihan/kursus tempur jarak dekat yang canggih dan terkini serta melengkapkan peralatan pasukan dan individu, terutama pembelian senjata dan penggunaan kenderaan selam (underwater delivery vehicle - UDV) untuk operasi khas, sesuai dengan teknologi dan keperluan pertahanan masa kini.
Beliau kemudiannya merakamkan terima kasih kepada anggota bantuan dari pelbagai kepakaran TLDM dan anggota pasukan tentera darat dari Kor Perubatan yang turut serta membantu melicinkan pentadbiran pasukan Paskal ini.
Ahmad Ramli berharap semua peringkat dalam Paskal, mengekal serta meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing dan sentiasa bersedia menjaga kepentingan dan nama baik pasukan serta berharap pasukan ini terus mencapai kecemerlangan dari semasa ke semasa, sesuai dengan cogan kata Paskal iaitu ''Sentiasa Yang Terbaik''.
Oleh: BM KNG HARRIS FADILAH YUSOF
Mar 25, 1998
Subscribe to:
Posts (Atom)