The Elite Navy Paskal or KD Panglima Hitam, SOF of The Royal Malaysian Navy (RMN). Pic Credit@DSOP
Oct 1, 2002
Anugerah Tamat Latihan
Oleh HAMDEN RAMLI
JAM baru menunjukkan pukul 10 pagi, namun cuaca di pantai Teluk Senangin, Lumut cukup panas. Panasnya amat memeritkan. Pohon-pohon kelapa yang tumbuh meliar di sepanjang pantai itu tidak banyak membantu, sekurang-kurangnya mengurangkan bahang kepanasan itu.
Pun begitu, rasa gelisah itu sedikit terubat apabila melihat keindahan pantai Teluk Senangin yang masih terpelihara dan bebas daripada sebarang aktiviti pembangunan. Air lautnya yang jernih membiru, yang mengalunkan ombak-ombak kecil serta perkampungan nelayan yang penuh dengan aktiviti menambahkan lagi seri pantai itu. Dalam keasyikan menghayati keindahan semulajadi pantai Teluk Senangin yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan Lumut, tiba-tiba lamunan diganggu oleh kelibat sekumpulan manusia yang sedang berlari dari arah hujung pantai.
Makin lama pergerakan kumpulan tersebut yang memakai pakaian celoreng dan lengkap bersenjata semakin jelas kelihatan. Kehadiran mereka menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar pantai itu. Masing-masing tertanya apakah tujuan kumpulan tersebut di pantai itu. Dan tanpa mempedulikan perhatian yang diberikan, kumpulan berkenaan terus berlari di bawah terik panas matahari.
Apabila tiba di satu kawasan mereka berhenti dan terus melucutkan beg masing-masing sambil mengambil tempat menanti arahan seterusnya. Selepas arahan dikeluarkan, identiti mereka jelas iaitu mereka merupakan pelatih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berjaya menamatkan kursus asas Pasukan Khas Laut (Paskal).
Kursus selama empat bulan yang bermula pada 28 September 2002 lalu disertai oleh 92 pelatih terdiri daripada lima pegawai dan 87 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP). Daripada jumlah itu, hanya 21 pelatih terdiri daripada seorang pegawai dan 20 anggota LLP berjaya melepasi segala ujian dan cabaran getir bagi menamatkan kursus asas tersebut. Kejayaan itu membolehkan mereka diterima masuk menyertai pasukan elit TLDM itu. Sebagai tanda kejayaan itu satu majlis pemakaian beret telah diadakan di pantai tersebut dan disempurnakan oleh Pegawai Memerintah Paskal, Komander Jamaludin Mohd. Saman. Selain gembira pasti wujud kelegaan dalam hati 21 anggota Paskal itu. Apatah lagi bila memikirkan kejayaan itu bukan diraih dengan mudah tetapi menuntut titisan keringat dan pengorbanan yang tinggi.
Selama empat bulan termasuk bulan pemanasan, badan dan mental mereka telah melalui pelbagai ujian yang benar-benar mencabar kekuatan fizikal dan mental mereka. ``Sepanjang empat bulan tidak ada yang tidak sakit, semuanya sakit. Badan sakit, hati sakit tetapi itulah cabaran getir jika ingin menjadi anggota Paskal,'' kata Ketua Pegawai Latih Paskal, Leftenan Mohamad Razak.
Menurutnya, sepanjang empat bulan itu, para pelatih didedahkan kepada pelbagai ujian dan teknik berkaitan tugas pasukan khas itu. Secara keseluruhan, pelatih dikehendaki melepasi lima tahap sebelum layak diterima masuk menyertai Paskal. Sebelum itu, pelatih perlu melalui peringkat asas iaitu ujian ketahanan fizikal bagi menentukan kemampuan pelatih sama ada layak untuk menyertai kursus atau sebaliknya.
Antaranya setiap hari mereka perlu berlari sejauh 7.8 kilometer (km) dalam masa 30 minit, berenang sejauh enam hingga tujuh km dan melalui pelbagai ujian fizikal. `Sampai satu peringkat mereka perlu melalui ujian berenang sejauh 15 km pula,'' katanya.
Dalam tempoh itu juga pelatih akan melalui `minggu neraka' di mana selama tiga hari tiga malam mereka akan diberikan pelbagai latihan tanpa henti selama 24 jam.
``Tidak ada tidur dan tidak ada rehat. Mereka hanya berehat bila sembahyang dan makan,'' katanya lagi.
Sepanjang tempoh itu juga mereka dikenakan bergerak dalam kumpulan 12 orang sambil diwajibkan untuk menjunjung but getah di atas kepala sepanjang masa. Selepas bulan pemanasan, mereka yang layak akan pergi ke tahap pertama atau peringkat kem untuk didedahkan kepada teknik-teknik peperangan hutan, operasi di laut dan ujian fizikal.
``Peringkat ini benar-benar menguji mental pelatih. Mereka akan dikenakan hukuman berat di atas sebarang kesalahan, walaupun haya kesalahan kecil. Tekan tubi seribu kali merupakan hukuman biasa,'' kata Mohamad . Dari tahap kem, mereka akan pergi ke tahap kedua atau peringkat hutan. Cabaran awal ialah melalui ujian berjalan lasak sejauh 48 kilometer bermula pukul 8 malam.
Tahap ketiga atau peringkat paya akan mendedahkan pelatih mempelajari teknik-teknik survival di kawasan paya dengan hanya berbekalkan sebilah parang, sebatang tombak dan separuh tempurung kelapa.
Tahap seterusnya yang merangkumi operasi laut dan daratan mengkhendaki pelatih berenang sejauh 3 hingga 15 km setiap hari untuk membiasakan diri dengan teknik renang tempur.
Pada tahap lima atau dikenali pelarian dan penyusupan pelatih akan melaksanakan teknik menyusup ke kawasan musuh dengan pelbagai muslihat dan penyamaran tanpa dikesan oleh musuh.
``Hanya yang cekal dan keras hati sanggup melalui ujian ini,'' katanya.
Sementara itu, Jamaludin turut mengingatkan anggota Paskal supaya sentiasa menjaga disiplin diri dan menjauhi amalan-amalan yang ditegah oleh agama termasuk mengamal ajaran ilmu hitam. ``Usaha dan persiapan diri yang paling penting. Saya tidak akan berkompromi dan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap anggota yang terbukti melakukan kesalahan itu,'' katanya. Menurut Jamaludin, meskipun masalah itu hanya melibatkan segelintir anggota, namun ia perlu ditangani dengan serius. Ini kerana, katanya, masalah tersebut boleh menjejaskan kerjaya individu dan keberkesanan pasukan secara keseluruhan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment