Apr 1, 2003

Paskal unit elit

Artikel Asal


Oleh HAMDEN RAMLI
MENJADI perintis dalam sesuatu organisasi mempunyai banyak kelebihan. Namun sebagai kumpulan awal, tentunya terdapat pelbagai kekurangan dan masalah yang perlu dihadapi.

Paling ketara ialah soal kemudahan, kelengkapan dan kebajikan yang biasanya tidak sempurna.

Hal ini turut dialami oleh Pasukan Khas Laut (Paskal) yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia hari ini. `Dahulu Paskal tidak ada. Yang ada Rejimen Keselamatan TLDM,'' kata Leftenan Komander (Kehormat), Ahmad Ramli Kardi, 42, mengimbau sejarah silam unit komando TLDM yang kini dikenali Paskal.

Sebagai antara kumpulan awal yang menganggotai pasukan itu, beliau telah merasa pahit getir perjuangan Paskal sebelum diiktiraf sebagai pasukan elit TLDM.

``Dahulu semuanya kurang. Masuk tidak ada elaun, peralatan tidak seperti sekarang, malah unit komando yang sebenar atau organisasi itu pun tidak ada,' katanya.

``Kebanyakan masuk unit ini kerana mahukan cabaran,'' ujarnya yang menyertai unit komando selepas berjaya menamatkan kursus asas komando selama empat bulan di Indonesia, pada tahun 1979.

Malah menurut anak jati Bagan Datoh, Perak ini, kebanyakan mereka yang berjaya menamatkan kursus diberikan tugas-tugas keselamatan pangkalan yang lebih dikenali sebagai `jaga'. Di awal penubuhan Paskal pada tahun 1982 keadaan masih tidak banyak berubah seperti di tahun 1970-an. Peralatan tempur masih tidak ada. Oleh itu semua anggota perlu bijak menyesuaikan diri dengan keadaan.

``Saya masih ingat semasa terlibat dalam Latihan Malindo Jaya X, antara TLDM dan Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI - AL), saya telah meminjam 90 pasang baju celoreng terpakai dari Kem Majidee untuk kegunaan anggota. ``Pada masa yang sama saya turut mengintai-mengintai di kapal-kapal, mencari bot tempur untuk dipinjam,'' ujarnya.

Segala kekurangan itu bagaimanapun tidak sesekali melemahkan minat dan kesungguhan mereka. Malahan kekurangan itu telah menyebabkan mereka semakin bersemangat. Segala kekurangan yang dihadapi dianggap cabaran. Kejayaan mengatasi kekurangan itu bermakna satu kejayaan besar.

Hasil inisiatif itu juga sebenarnya membawa hikmah yang besar kepada anggota-anggota unit ini. Mereka semakin kreatif dan menghasilkan beberapa `McGyver' seperti bekas Pegawai Waran Mohd. Room Bahari. Selain itu semangat setiakawan cukup tinggi. Ini menjadi petanda baik kerana ia dapat membantu menaikkan kemahiran berkumpulan - satu aspek penting dalam pergerakan Paskal.

Bagaimanapun Paskal hari ini sudah jauh berubah. Daripada satu unit yang tidak memiliki apa-apa kepada satu unit yang memiliki segala-galanya termasuk Bangunan Markas Pentadbiran serta auditorium paling canggih di Pangkalan Lumut TLDM, hari ini. Semuanya bermula pada tahun 1980-an setelah TLDM memindahkan pangkalan dari Woodland, Singapura ke Lumut, Perak.

Peralatan tempur Paskal juga hebat. Malah setanding dengan pasukan elit negara lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan, dalam sesetengah perkara Paskal TLDM lebih maju berbanding pasukan elit negara-negara lain termasuk negara jiran. ``Saya masih ingat semasa saya melakukan tembakan mengunakan senjata 12.7 mm Countersniper Riffle bersama anggota SAS, mereka sangat kagum kerana pasukan mereka sendiri masih belum memilikinya malah masih dalam proses uji nilai,'' ujarnya.

Dari segi kebajikan juga telah jauh berubah. Selain elaun dan peralatan individu yang sangat baik, Paskal hari ini turut mendapat perhatian utama. Bagi anggota Paskal yang baharu berkahwin kelulusan menduduki rumah kelamin pasti terjamin. Menurut Ramli, keadaan itu bagaimanapun sedikit menggusarkannya kerana jika tidak ditangani dengan betul boleh menyebabkan anggota leka, mengambil mudah semua perkara.

Ini, katanya boleh menyebabkan kemahiran individu dan berkumpulan menurun, sekali gus menjejaskan kemampuan keseluruhan pasukan. Mencerita lanjut penglibatannya dalam Paskal, Ramli berkata, semuanya bermula kerana inginkan cabaran dan `bosan' dengan tugas di cawangan pandu arah di atas kapal KD Sri Langkawi. Selain itu keadaan dalam kapal yang sempit merimaskan dirinya. Justeru tawaran mengikuti latihan asas komando pada Disember tahun 1978 disambut tanpa banyak soal.

Seramai 69 anggota termasuk lapan anggota dari kapal KD Sri Langkawi menyahut cabaran mengikuti kursus tersebut yang diadakan di pangkalan TLDM Woodland selama sebulan dan di Surabaya Indonesia selama tiga bulan. Kursus Pra Asas Komando dikendalikan oleh ketua jurulatih Leftenan Sutarji Kasmin (Sekarang Kapten TLDM) cukup memeritkan.

Bagaimanapun ia mendedahkan mereka kepada alam komando yang penuh cabaran. ``Selama sebulan itu kami `dibelasah' cukup-cukup. Tidak ada masa terluang. Kalau ada pun pada masa makan. Sutarji berhenti lanyak kami hanya semasa dia berbuka puasa selama 15 minit

``Saya masih ingat pada saat-saat akhir sebelum menaiki kapal terbang bertolak ke Surabaya Indonesia kami di hukum dengan berlari dan forward role. Cukup menyiksakan,'' katanya sambil menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah tidak percaya apa yang dilaluinya pada hari itu. Sepanjang kursus Asas Komando Hutan di Indonesia itu hanya seorang peserta gagal menamatkan kursus kerana patah kaki. Kumpulan itu kemudiannya menjadi tunjang kepada pembentukan Paskal.

Menurut Ramli, pada peringkat awal pembentukan Paskal, banyak perkara melibatkan teknik dan taktik terpaksa dilakukan sendiri. ``Tidak ada jurulatih khusus. Kalau ada jurulatih pun terutamanya daripada luar negeri, mereka tidak mengajar secara terperinci. ``Idea yang kami keluarkan kadangkala diperlekehkan. Malah pernah seorang anggota Seals berkata ``Ramli you watch too much Hollywood'' apabila saya berbincang untuk melakukan penerjunan bebas dengan peralatan selam oksigen di tengah laut. ``Alhamdulilah, saya reka caranya dan lakukan penerjunan tersebut, ia berjaya!,'' katanya.

Mengenai operasi, Ramli berkata, tumpuan diberikan dalam operasi khas di perbatasan negara khususnya dalam menangani kegiatan lanun di perairan negara. Selain itu beliau pernah ditugaskan di Pulau Layang-Layang semenjak tahun 1980-an.

``Di situ, kami berkongsi rumah dengan burung-burung laut yang mendiami kawasan-kawasan batu karang di pulau itu. ``Perit, hanya tuhan yang tahu. Tahi burung itu menghasilkan hama yang menyebabkan kudis mudah terkena pada kulit,'' katanya yang kini bertugas sebagai Juruiring Tentera kepada Sultan Selangor setelah menamatkan perkhidmatan pada tahun 1999. Perkhidmatan cemerlangnya selama 22 tahun telah mendapat pengiktirafan daripada Panglima TLDM apabila beliau dianugerahkan pingat Kesatria Angkatan Tentera.

Selain itu beliau turut menerima pingat Ahli Mangku Negara dan Ahli Mahkota Perak daripada Yang di Pertuan Agong dan Sultan Perak. Di samping itu, beliau juga aktif dalam kegiatan luar khususnya dalam sukan payung terjun. Beliau merupakan salah seorang anggota pasukan penerjun yang menjayakan projek penerjunan di Kutub Utara (1998) dan Kutub Selatan (2000).

Mencerita tugasnya hari ini beliau berkata, tugas sebagai anggota Paskal banyak membantu beliau menjalankan tugas sekarang. `Soal daya tahan, cara pergaulan, ketepatan masa, cara bercakap, semua membantu menjalankan tugas dengan baik,'' katanya.


Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis