Artikel Asal
ANGKATAN tentera Malaysia menggerakkan anggota Paskal dalam misi menyelamatkan tebusan yang diculik oleh kumpulan lanun. - Gambar Mohd. Shariful Hafizal
KEDAULATAN negara merupakan perkara paling penting dan ia perlu dipertahankan setiap masa tanpa mempunyai titik noktahnya.
Pastinya tanggungjawab itu dipikul oleh seluruh rakyat negara ini, namun yang paling berat adalah terletak di bahu anggota keselamatan.
Kedaulatan negara bermula dari perairan lagi iaitu pulau-pulau kecil sampailah ke daratan perlu dipertahan walaupun nyawa menjadi galang gantinya.
“Menjaga kedaulatan negara tidak mempunyai noktah,” itulah tegas Panglima Angkatan Tugas Bersama Dua, Brigedier Jeneral Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan kepada kumpulan media di Markas Taktikal Kem Sri Wangsa, Semporna, baru-baru ini sempena lawatan ke barisan hadapan Ops Pasir di perairan selatan negeri Sabah.
Kata-kata itu menyedarkan diri penulis bahawa kebanyakan kita tidak lagi mengambil berat tentang kedaulatan negara, tetapi lebih cenderung untuk ‘menghancurkannya.’
Justeru itu penulis yang menyertai kumpulan itu dapat merasai serba sedikit kesukaran yang harus ditempuhi oleh anggota tentera ketika dipanggil menjalankan tugas di dalam operasi di barisan hadapan seperti Ops Pasir yang diambil nama daripada singkatan Pandanan and Island Resort.
Penempatan terup Tentera Darat di sekitar perairan dan kepulauan di pantai timur Sabah setelah peristiwa penculikan pertama oleh kumpulan Abu Sayyaf pada 23 April 2000 di Pulau Sipadan yang membabitkan 21 orang iaitu terdiri daripada 12 pelancong asing, lapan pekerja resort dan seorang anggota polis.
Ekoran itu Kabinet memutuskan agar terup-terup Tentera Darat digerakkan ke pulau-pulau dan resort di sekitar perairan negeri Sabah yang dikenali sebagai Ops Padan yang dilancarkan pada 29 April tahun yang sama dengan permulaannya menduduki lima buah pulau iaitu Pulau Sipadan, Pulau Lankayan, Pulau Gaya, Pulau Kelumpang dan Pulau Bohayen.
Pada 18 September tahun yang sama, satu lagi penculikan berlaku di Pulau Pandanan iaitu kira-kira 20 batu nautika dari Semporna dan kali ini membabitkan tiga orang awam. Bagi mengekang kegiatan tersebut Ops Pasir dilancarkan pada 20 September.
Sejak itu, kawalan di kawasan perairan negara terus diperketatkan dan bukan sahaja anggota tentera ditempatkan di pulau-pulau kecil yang terdapat di sekitar kawasan, bahkan operasi itu turut melibatkan anggota polis dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Mengimbas kembali sebelum penulis menjejakkan kaki ke Terumbu Layang-layang, pada 10 Ogos lalu selepas menamatkan tugas di Ibu Pejabat Utusan Malaysia di Sungai Besi pada pukul 1 pagi, penulis terus pulang ke rumah dan menyiapkan pakaian serta keperluan lain untuk ke Sabah.
Misi penulis kali ini adalah untuk meninjau bagaimana cabaran Ops Pasir yang melibatkan anggota tentera dari ketiga-tiga angkatan, polis dan APMM.
Selepas ‘tidur-tidur ayam’ seketika, penulis bangun semula seawal pukul 5 pagi dan mempersiapkan diri untuk ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang.
Kira-kira 45 minit memandu, penulis tiba di pangkalan tentera berkenaan dan kelihatan telah ramai wartawan yang lebih awal tiba.
Penerbangan ditetapkan pada pukul 7 pagi menggunakan pesawat C130 iaitu dari Subang dan singgah di Kota Kinabalu bagi mengambil tujuh lagi wartawan dari negeri Sabah dan kemudiannya terus ke Tawau.
Setiba di Tawau kami terus menaiki bas bagi meneruskan perjalanan ke Semporna yang mengambil masa kira-kira sejam. Sepanjang perjalanan itu penulis mengambil kesempatan melelapkan mata setelah tidak tidur dengan cukup pada sebelah malamnya.
Setiba di Tawau kami terus ke Markas Taktikal Kem Sri Wangsa di Semporna menggunakan bas dan di sana kami diberi taklimat tentang Ops Pasir sebelum ke tempat penginapan iaitu Dragon Inn yang merupakan sebuah calet terapung cukup indah di pantai Semporna.
Pada sebelah malam kami kembali ke kem yang sama untuk menikmati jamuan makan malam dan seperti yang dijangka kami dihidangkan dengan rusa panggang atau dikenali sebagai payau bagi penduduk Sabah memang cukup popular sebagai hidangan istimewa di Tawau.
Ketika asyik mengunyah daging payau yang agak liat, manakala telinga asyik mendengar muzik dipersembahkan oleh band anggota tentera, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku yang hampir memekakkan telinga penulis dan serentak itu juga semua lampu terpadam.
“Ah! ini satu gimik tenteralah ni,'' terdetik di dalam hati penulis. Memang benar ia merupakan satu drama serangan lanun ke atas kem tentera yang dilakonkan dengan penuh meyakinkan - dipenuhi letupan dan ledakan senjata mesingan.
“Wah esok tentu lagi hebat ketika melawat pulau-pulau dan kawasan operasi sebenar,” fikir penulis. Selepas selesai adegan serangan lanun itu, keadaan kembali terang dan penyanyi wanita yang sebelum ini tergamam dengan beberapa das letupan kuat, menyambung semula persembahannya.
Sejurus persembahan berakhir kami pulang ke tempat penginapan dan selepas menikmati teh tarik di gerai berhampiran lokasi itu, penulis tidur kira-kira pukul 1 pagi.
Selepas itu kira-kira pukul 5 pagi, penulis bangun semula dan mempersiapkan diri untuk bersarapan pagi pada pukul 5.30 pagi, yang ketika itu telah cerah kerana perbezaan waktu sejam di antara Sabah dengan Semenanjung Malaysia.
Tepat 6.30 pagi, kumpulan kami bertolak ke lokasi operasi iaitu di Pulau Siamil dan Nabawan menggunakan bot tempur laju CB-90 milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Selepas merentasi laut yang agak tenang selama kira-kira dua jam, kami tiba di Pulau Siamil dan di sana ketua operasi di situ memberi taklimat dengan nada yang begitu keras dan tegas menandakan latihan taktikal yang bakal dipersembahkan bukan perkara main-main.
Pergerakan petugas media dihadkan kerana banyak bahan letupan diletakkan di sekitar pulau itu dan ketika adegan tembak menembak, anggota terbabit menggunakan peluru hidup.
Objektif operasi itu adalah untuk menyelamat sekumpulan pelancong yang diculik di sebuah pusat peranginan di pulau berdekatan untuk disembunyikan di Pulau Siamil.
Drama itu bermula tepat pukul 8.45 pagi apabila anggota kawalan pengganas berlegar-legar di pantai dan di Jeti Pulau Siamil bagi meninjau keadaan persekitaran sebelum dua buah laju milik kumpulan itu tiba membawa sekumpulan pelancong yang dikawal ketat oleh anggota lanun yang lengkap bersenjata.
Sejurus itu kelihatan tiga anggota tentera yang menggunakan bot penduduk tempatan dan berpakaian biasa memancing di kawasan berhampiran bagi membuat tinjauan.
Setelah maklumat disahkan anggota Paskal di dalam bot nelayan melepaskan tembakan ke arah anggota pengganas di atas jeti dan ketika anggota pengganas kelam kabut mencari tempat perlindungan, satu tim Paskal melakukan serang dari arah kanan pulau berkenaan bagi mengalih pandangan kumpulan pengganas.
Serentak itu juga dua tim Paskal dengan dua buah bot Zodiac mengambil kedudukan di tepi pantai sambil menunggu kehadiran Pasukan Atur Gerak Cepat Tentera Darat (QRF) menggunakan helikopter Nuri, setiba di lokasi anggota 10 Briged Para diturunkan menggunakan teknik ‘Fast Ropiong' dan serangan sebenar bermula.
Kerja-kerja amal
Pada pukul 9 pagi, anggota Paskal dan QRF telah berjaya menyelamat pelancong yang diculik dan terus diterbangkan meninggalkan Pulau Siamil bersama anggota QRF.
Ketika anggota Paskal mula meninggalkan pulau berkenaan, helikopter unit Polis Diraja Malaysia pula melakukan pemerhatian dan tiba-tiba telah mengesan empat orang pengganas yang terselamat cuba melarikan diri dengan dua buah bot laju.
Selepas maklumat disebarkan, bot tempur Paskal bersama-sama APMM terus mengejar bot laju berkenaan dan berjaya mengepung dan memberkas mereka.
Operasi taktikal itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri serta panglima ketiga-tiga angkatan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Selesai operasi itu, semua pihak terbabit dibawa ke Pulau Danawan dan di sana penulis dapat menyaksikan anggota tentera melakukan kerja-kerja amal seperti mengadakan pemeriksaan kesihatan dan gigi penduduk setempat.
Ketika jam menghampiri 12 tengah hari, penulis bersama yang lain menaiki bot untuk kembali ke Semporna, kali ini perjalanan memang mencabar selain laut yang semakin bergelora, hujan juga sesekali datang mencurah sehingga penulis nyaris-nyaris menghambur segala isi perut akibat mabuk laut.
Setiba di Semporna iaitu ketika menaiki bas untuk ke Tawau, dalam keadaan kepala yang pening dan perut yang masih memulas, penulis gagahi menulis artikel ini. Dari Tawau kumpulan kami dibawa ke Terumbu Layang-layang menaiki pesawat C-130.
Kawasan berkenaan memang menarik untuk disinggahi kerana kecantikan terumbu karangnya, tetapi bagi penulis jika seorang anggota tentera yang bertugas di situ ia sesuatu yang menduga ketahanan mental.
Pulau yang dibina secara penambakan dan tebus guna pasir itu terlalu kecil iaitu hanya panjang kira-kira dua kilometer. Tiada apa yang dapat dilakukan selain daripada berjalan di pulau itu, memancing dan berbual-bual.
Untuk tinggal dalam tempoh yang panjang di pulau itu, bukanlah satu pengalaman yang menarik.
Begitulah serba sedikit kesukaran yang menagih kesabaran dan ketabahan minda serta ketahanan fizikal yang penulis tempuhi dan tentulah situasinya lebih sukar serta mencabar ditempuhi oleh anggota tentera.
Namun demi kedaulatan ibu pertiwi jiwa dan raga dipertaruhkan.
© UTUSAN MELAYU (M) BERHAD