May 29, 2013

Bukti kesediaan TD (Eksesais Belangkas)

Oleh FADZLY IZAB



sebahagian daripada anggota yang menyertai latihan dalam Eksesais Belangkas di Melaka baru-baru ini.
KEJAYAAN Tentera Darat (TD) menjayakan Eksesais Belangkas yang memberi fokus kepada operasi amfibia terhad membuktikan kesediaan serta kemampuan pasukan berkenaan berhadapan dengan cabaran sebenar.
Latihan kali ini melibatkan kira-kira 900 pegawai dan anggota TD dengan turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan objektif untuk melatih kakitangan perancang bagi Proses Perancangan Operasi Amfibi Bersama dalam persekitaran operasi.
Menerusi latihan itu yang dijalankan pada pukul 8.30 pagi, sebanyak 100 askar musuh lengkap bersenjata berat menjadikan puncak bukit sebuah ladang kelapa sawit sebagai kubu kuat bagi menghalang kemasukan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Disebabkan puncak bukit berkenaan adalah lokasi strategik pertahanan yang sudah ditawan musuh, anggota pasukan keselamatan negara perlu bersedia untuk menyusup masuk dan merampas kembali bukit berkenaan.
Bagi tujuan itu, pasukan daripada Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau) dan 10 Briged Para ditugaskan menawan semula kawasan musuh serta misi bagi mengelak keadaan lebih buruk.
Kapal perang KD Sri Mahawangsa TLDM turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dengan sistem persenjataannya dihalakan ke kawasan musuh.
Tepat pada pukul 9.45 pagi, lebih 10 perahu tempur melakukan pendaratan di persisiran pantai sejauh kira-kira 300 meter daripada markas musuh.
Sejurus kemudian, kawasan ladang kelapa sawit berkenaan mula dihujani dentuman kuat hasil tembakan artileri yang menghujani penempatan serta kubu musuh.
Tembakan daripada dua pesawat Hawk 208 termasuk kapal KD Sri Mahawangsa berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan musuh, sekali gus memberi ruang lebih 900 anggota tentera daripada pelbagai unit dilengkapi raifal M-16, menyusup masuk untuk melakukan serangan jarak dekat.
Dalam tempoh kurang 30 minit, anggota pasukan keselamatan berjaya menembusi pertahanan dan menawan kubu musuh sekali gus menamatkan penguasaan tentera musuh di bukit ladang kelapa sawit berkenaan.
Kejayaan menawan semula puncak bukit itu menjadi simbolik kepada majlis penutup Eksesais Belangkas Siri 27/2013 yang dijalankan di Kampung Telok Gong, Pengkalan Balak, Melaka.
Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan TD, Mejar Jeneral Datuk Abdul Samad Yaakob berkata, latihan itu juga bertujuan menguji keberkesanan sistem komunikasi antara perkhidmatan, khasnya kemampuan komunikasi kapal ke darat.
"Latihan ini juga berperanan menguji keberkesanan teknik, taktik dan prosedur terhadap penggunaan platform amfibia yang dikenal pasti serta melatih kedua-dua komponen TD dan TLDM dalam melaksanakan operasi pendaratan amfibi," ujarnya.


Kenderaan berperisai turut digunakan dalam Eksesais Belangkas yang merupakan persediaan sebelum ATM mengadakan latihan bersama dengan tentera Amerika Syarikat.
Menurut Abdul Samad, beliau berpuas hati dengan prestasi anggota pasukan terbabit dan menyifatkannya sebagai berjaya mencapai matlamat.
"Melalui latihan itu, anggota kita dilepaskan seolah-olah menawan semula pekan Telok Gong yang ditawan oleh pihak musuh.
"Kita juga dapat menguji kecekapan, kebolehan dan kemantapan infantri 10 Briged Para termasuk yang lain dan mereka berjaya melaksanakan misi," katanya.
Latihan yang berakhir pada pukul 2 petang itu turut dihadiri Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Tengku Ahmad Noor Tuan Chik; Pegawai Memerintah KD Sri Mahawangsa, Kapten Roslee Mohammad Isa dan Pegawai Staf 2 Markas Operasi Udara Kementerian Pertahanan, Mejar Izwan Zainal Amran.
Selain itu ujar Abdul Samad, latihan tersebut merupakan persediaan TD untuk menghadapi latihan gabungan antara ATM dengan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) dan Kor Marin Amerika Syarikat (USMC).
Latihan yang yang dikenali sebagai Exercise Cooperation Afloat Readiness and Training (EX CARAT) bakal diadakan di Kuantan, Pahang pada 15 hingga 23 Jun ini.
"Pihak USN sering mengadakan latihan tersebut di negara ini atas faktor kebolehan tentera kita berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris selain penggunaan terma ketenteraan kedua-dua negara yang tidak jauh berbeza," katanya.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130529/ba_06/Bukti-kesediaan-TD#ixzz3P7nrFaUe 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Apr 24, 2013

Ops Fajar jamin keselamatan kapal dagang

KD BUNGA MAS yang menjadi kebanggaan negara.
SESUAI dengan reputasinya sebagai laluan laut paling berbahaya di dunia, perairan Teluk Aden, Somalia menyimpan seribu satu cerita tidak menyenangkan kepada kapal-kapal perdagangan yang melalui kawasan tersebut.
Lanun di perairan sepanjang 3,300 kilometer (km) itu terutamanya, telah menjadi ancaman besar kepada sektor perkapalan antarabangsa sejak fasa kedua Perang Saudara Somalia pada awal abad ke-21.
Mempunyai kedudukan strategik di bahagian selatan kawasan The Horn of Africa, Teluk Aden menyaksikan banyak siri rompakan dan rampasan kapal perdagangan yang merugikan penggiat perniagaan setiap tahun.
Sejak 2005, badan-badan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan Program Makanan Dunia menyatakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan gejala perlanunan di kawasan tersebut.
Atas kesedaran itu, Malaysia telah melancarkan Ops Fajar bagi menjamin keselamatan kapal-kapal dagang kita pada tahun 2008 dan memasuki siri kesembilan kini.
Menerusi operasi tersebut, Pasukan Khas Laut (Paskal) digerakkan menaiki kapal auxiliary Bunga Mas 5 dan 6 untuk melindungi kapal-kapal dagang Malaysia.
Kejayaan terus terukir bagi kru Ops Fajar apabila dua tahun lalu, sebuah kapal dagang iaitu MT Bunga Laurel berjaya diselamatkan selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman,
Tidak lama selepas itu, sebuah Pasukan Perlindungan Khas (PPK) Bunga Mas 5 terdiri daripada enam anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan lanun merampas kapal dagang MT Eagle Stealth milik MISC.
Dalam kejadian tersebut, lima bot laju dinaiki antara 10 hingga 15 lanun dipercayai dari Somalia cuba merapati kapal tersebut ketika belayar merentasi Bab Al-Mandeb, 30 batu nautika dari Al-Mukha, Yaman.
Jelas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, kejayaan menangkap tujuh lanun Somalia sekali gus mengagalkan cubaan lanun tersebut mencerminkan kesiapsiagaan tempuk ketumbukan tersebut.
“Bermula Ops Fajar dilancarkan sehingga kini, belum ada satu pun kapal MISC yang berjaya ditahan lanun Somalia.
“TLDM dengan kerjasama pihak MISC telah melancarkan kapal auxiliary kedua iaitu Kapal auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bunga Mas 6 pada 8 Ogos 2011.
“Sehingga ke kini, setelah beroperasi selama 1,390 hari, Kapal Auxiliary TLDM Bunga Mas 5 telah berjaya mengiringi 234 buah kapal MISC dalam 194 konvoi. Kapal Auxiliary TLDM Bunga Mas 6 pula telah berjaya mengiringi 41 buah kapal MISC dalam 41 konvoi," katanya.
Gaya Tentera berkesempatan menaiki sendiri Bunga Mas 6 yang diketuai Komander Kapten Mohd. Nazri Sharif, 40, pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 baru-baru ini.
Kapal setinggi tujuh tingkat tersebut turut menempatkan ruang mendarat helikopter pasukan Rajawali Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tempat menginap dan ruang latihan pasukan Paskal manakala pusat pengemudian seluruh kapal berada di tingkat paling atas.
Dikemudi Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM), Bunga Mas 6 merupakan antara tarikan utama segmen maritim pada LIMA 2013.
Kapasiti normal kapal yang dahulunya juga sebuah kapal dagang tersebut boleh memuatkan lebih 100 anak kapal dan barangan dagangan setiap kali operasi dijalankan.
Mohd. Nazri memberitahu, konvoinya yang membawa kira-kira 25 anggota Paskal akan memulakan rutin operasi dengan mengiringi kapal-kapal dagang MISC bermula di Lumut sehingga ke sebuah ‘checkpoint’ yang ditetapkan di sempadan Teluk Aden.
Kemudian, jelasnya, pasukan Paskal akan memulakan mobilisasi ke kapal yang diiringi itu bagi memastikan sebarang bentuk ancaman lanun tidak wujud terhadap kapal berkenaan.
“Sepanjang saya mengetuai Bunga Mas 6, tiada sebarang ancaman yang besar berlaku kepada kapal-kapal MISC, cuma percubaan-percubaan kecil yang akhirnya berakhir dengan lanun-lanun tersebut menyedari bahawa kapal dagang kita diawasi Paskal lalu menghilangkan diri.
“Namun begitu, kelibat kumpulan bersenjata api termasuk raifal M16 dan AK-47 di atas bot pancung berdekatan dengan laluan kapal sememangnya sebuah pemandangan yang biasa bagi kami," ujarnya.
Wartawan turut mengambil kesempatan untuk bertanyakan berhubung pengalaman Mohd. Nazri sewaktu operasi menyelamatkan MT Bunga Laurel tersebut dua tahun lalu.
Mengimbau semula kejadian tersebut, Ahmad Nazri memberitahu, kejadian pada pukul 7 petang pada 20 Januari itu masih segar dalam ingatannya memandangkan peristiwa berkenaan melibatkan 21 anak kapal dagang milik MISC, Bunga Lauren hampir terkorban dan menjadi tebusan.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika beliau dan pasukannya yang menaiki kapal Bunga Mas 5 mengiringi Bunga Lauren ke Lautan Arab pada hari tersebut sebelum menerima laporan kapal dagang tersebut didekati lanun menggunakan bot pancung dan bersenjatakan raifal AK-57.
“Kami tidak dapat menghubungi mereka dalam tempoh 10 minit dan selepas itu kami menjenguk kapal milik MISC berkenaan dan ditembak lanun.
“Lantas itu, kami berpatah balik ke kapal tersebut untuk membantu dan apabila komunikasi pulih, kami segera arahkan mereka untuk bersembunyi di dalam bilik enjin," katanya kepada pemberita.
Jelas Mohd. Nazri, sebaik sahaja tiba, kapal mereka telah ditembak lanun yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 27 tahun tersebut sebelum 14 anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) menyelinap masuk ke kapal dan berlaku insiden tembak-menembak.
Insiden tembak menembak itu, jelas beliau, berakhir lapan jam kemudian iaitu pukul 3 pagi dengan kesemua lanun berjaya ditangkap.
Kesimpulannya, Ops Fajar membuktikan kejayaan TLDM dalam melaksanakan misi dan visi mempertahankan negara selain Ops Pejarak di Pulau Perak, Kedah dan Pulau Jarak, Perak; Ops Sinar Sakti di gugusan Semarang Peninjau, Sabah dan Ops Daulat Benua di perairan Sabah Timur.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20130424/te_01/Ops-Fajar-jamin-keselamatan-kapal-dagang#ixzz3P7l0oYO8 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mar 27, 2013

Demonstrasi maritim pukau penonton

Oleh SOFIAN BAHAROM

SEORANG anggota Paskal terjun dari helikopter dalam Demostrasi Khas Maritim sempena LIMA 2013 di Langkawi hari ini. - UTUSAN
LANGKAWI 27 Mac - Penduduk pulau legenda ini teruja melihat Demonstrasi Khas Maritim yang dimulakan dengan tiga letupan kuat dari kawasan pesisiran pantai Chenang hari ini.
Sejurus letupan itu, muncul sekumpulan anggota penggempur daripada Pasukan Khas Tentera Laut (Paskal) yang bergerak ke lokasi berkenaan menggunakan aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), selaras konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Turut digerakkan ialah aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk helikopter Fennec, bot kombat CB90 dan pesawat Super Lynx manakala Maritim Malaysia menggunakan helikopter Agusta Westland AW139, pesawat Bombardier dan bot laju kelas Petir.
Pergerakan aset-aset berkenaan bertujuan menyelamatkan seorang anggota Jabatan Kastam yang telah dijadikan tawanan oleh kumpulan pengganas yang menaiki sebuah kapal auxiliary.
Operasi berkenaan merupakan Demonstrasi Khas Maritim yang dijalankan oleh TLDM dan Maritim Malaysia sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 yang bermula semalam hingga 30 Mac ini.
Lebih 500 pengunjung menyaksikan demonstrasi penuh aksi selama 45 minit berkenaan yang merangkumi modul pembinaan situasi, demonstrasi menyelamat di darat, demonstrasi menyelamat maritim, laluan penerbangan dan pameran bot.
Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md. Zin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Pengunjung turut teruja dengan pameran kemahiran seorang anggota pasukan Paskal yang melakukan pertunjukan rutin ikhtiar diri dengan berenang dalam keadaan kedua-dua kakinya diikat.
Persembahan TLDM dan Maritim Malaysia turut disajikan dengan pelbagai aksi menyelam, turun dari helikopter menggunakan tali, menyelinap ke kapal pengganas dan meloloskan diri tanpa dapat dikesan.
Sepanjang demonstrasi, pengunjung dibimbing oleh pengacara majlis yang membacakan jalan cerita operasi menyelamat, selain memberikan isyarat untuk pandang ke kiri, kanan, depan atau belakang yang selari dengan pergerakan peserta 'operasi'. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130327/dn_39/Demonstrasi-maritim-pukau-penonton#ixzz3P7mTULJA 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis