Apr 30, 2008

Kd DUYUNG Melahirkan penyelam TLDM berwibawa





RUSLI Ahmad (tengah) ketika menerima kunjungan rombongan tentera laut Amerika Syarikat ke KD DUYUNG baru-baru ini.



DEMI memastikan dasar serta permukaan perairan negara bebas daripada sebarang ancaman, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khasnya perlulah menyediakan anggota-anggota penyelam yang berkaliber.
Penyelam-penyelam ini pula semestinya mempunyai pelbagai kepakaran bagi memikul tanggungjawab sekecil mengimpal lantai kapal milik TLDM yang bocor atau sebesar mematikan periuk api yang tertanam di dasar lautan.
Mudah, sukar, berbahaya, menyeronokkan? Anda fikirkan sendiri.
Menyedari keperluan itu, TLDM seawal tahun 1977 telah mempunyai Sekolah Menyelam di pangkalan KD PELANDOK, Lumut.
Setelah ditauliahkan pada Mei 2005 pula, ia dikenali sebagai KD DUYUNG iaitu tempat latihan Pusat Selam dan Peperangan Periuk Api TLDM.
Pusat ini merupakan satu unit utama yang terletak di bawah pemerintahan Panglima Armada TLDM.
Kekuatan terkini KD DUYUNG ialah terdiri daripada 13 orang pegawai, 212 anggota lain-lain pangkat (LLP) dan 76 pelatih.
“Bukan setakat mengimpal kapal atau mematikan periuk api, kebolehan dan kepakaran menyelam merupakan perkara asas yang perlu ada pada seseorang anggota komando Pasukan Khas Laut (Paskal),'' kata Kepten Rusli Ahmad memulakan bicara.
Rusli yang merupakan Pegawai Memerintah KD DUYUNG menambah, jika seseorang anggota TLDM berhajat menjadi anggota elit Paskal, dia perlulah lulus ujian menyelam terlebih dahulu.
Jika gagal di KD DUYUNG, seseorang warga TLDM itu tidak layak bergelar anggota Paskal.
Kerana kesukaran dan tahap kualiti latihan yang tinggi dan setiap sesi pengambilan pelatih selam di KD DUYUNG biasanya hanya menyaksikan jumlah peratusan lulus yang rendah, iaitu sekitar 30 hingga 40 peratus.
“Justeru, setelah mereka (penyelam yang dilatih di KD DUYUNG) bersara dari TLDM, mereka tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pekerjaan di luar terutamanya di syarikat-syarikat swasta sebagai jurulatih dan sebagainya,” jelas beliau.
Lebih membanggakan katanya, pusat ini tidak terhad kepada melatih anggota TLDM sahaja, malahan turut menerima pelajar antaranya dari kalangan anggota Tentera Darat dan Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, kehebatan pusat ini turut terbukti apabila pernah menerima pelajar dari kalangan anggota pasukan keselamatan negara-negara seperti Fiji, Indonesia, Sri Lanka, Turki, Filipina dan India.
Mengenai anggota penyelam TLDM, mereka ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Penyelam Kapal dan Penyelam Ranjau.
Penyelam Kapal hanya layak menyelam sehingga kedalaman 21 meter (m) dan mereka dilatih khusus bagi melaksanakan tugasan mencari objek di lautan.
Sementara itu, kategori Penyelam Ranjau pula merujuk kepada mereka yang berkebolehan menggunakan pelbagai peralatan bantuan menyelam termasuk membabitkan campuran gas. Mereka berupaya menyelam tanpa had kedalaman dan berkepakaran mematikan periuk api di dasar laut.
Rusli memberitahu, bagi menjamin tahap kualiti ‘produk' KD DUYUNG, pusat ini saban tahun menghantar tim-tim penyelam menyertai eksesais di peringkat TLDM ataupun secara bilateral dan multilateral.
Kata Rusli, antaranya adalah Eksesais Angsa, Eksesais Pasifik Barat dan beberapa siri eksesais di bawah Perjanjian Lima Kuasa Pertahanan (FDPA).
Semua ini bertujuan untuk memastikan keupayaan pusat ini sentiasa berada pada tahap optimum.
Pada 23 April 2003, KD DUYUNG menganjurkan ekspedisi penyelaman sehingga 94.1m di perairan Pulau Sembilan, Perak. Kejayaan ini tercatat di dalam ‘Malaysian Book Of Records’ sebagai penyelaman terdalam yang dilakukan di perairan negara ini.
Pencapaian itu turut terbukti apabila pada Ogos 2004, ia dianugerahkan dengan sijil MS ISO 9001:200 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Seterusnya pada bulan Ogos tahun yang sama, pusat ini diterima sebagai pusat bertauliah Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK).
Dengan pencapaian dan kemudahan yang ada padanya, tidak hairanlah KD DUYUNG menjadi kebanggaan anggota penyelam TLDM serta graduan-graduannya dari pasukan keselamatan dalam dan luar negara.


Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis