May 29, 2013

Bukti kesediaan TD (Eksesais Belangkas)

Oleh FADZLY IZAB



sebahagian daripada anggota yang menyertai latihan dalam Eksesais Belangkas di Melaka baru-baru ini.
KEJAYAAN Tentera Darat (TD) menjayakan Eksesais Belangkas yang memberi fokus kepada operasi amfibia terhad membuktikan kesediaan serta kemampuan pasukan berkenaan berhadapan dengan cabaran sebenar.
Latihan kali ini melibatkan kira-kira 900 pegawai dan anggota TD dengan turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan objektif untuk melatih kakitangan perancang bagi Proses Perancangan Operasi Amfibi Bersama dalam persekitaran operasi.
Menerusi latihan itu yang dijalankan pada pukul 8.30 pagi, sebanyak 100 askar musuh lengkap bersenjata berat menjadikan puncak bukit sebuah ladang kelapa sawit sebagai kubu kuat bagi menghalang kemasukan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Disebabkan puncak bukit berkenaan adalah lokasi strategik pertahanan yang sudah ditawan musuh, anggota pasukan keselamatan negara perlu bersedia untuk menyusup masuk dan merampas kembali bukit berkenaan.
Bagi tujuan itu, pasukan daripada Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau) dan 10 Briged Para ditugaskan menawan semula kawasan musuh serta misi bagi mengelak keadaan lebih buruk.
Kapal perang KD Sri Mahawangsa TLDM turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dengan sistem persenjataannya dihalakan ke kawasan musuh.
Tepat pada pukul 9.45 pagi, lebih 10 perahu tempur melakukan pendaratan di persisiran pantai sejauh kira-kira 300 meter daripada markas musuh.
Sejurus kemudian, kawasan ladang kelapa sawit berkenaan mula dihujani dentuman kuat hasil tembakan artileri yang menghujani penempatan serta kubu musuh.
Tembakan daripada dua pesawat Hawk 208 termasuk kapal KD Sri Mahawangsa berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan musuh, sekali gus memberi ruang lebih 900 anggota tentera daripada pelbagai unit dilengkapi raifal M-16, menyusup masuk untuk melakukan serangan jarak dekat.
Dalam tempoh kurang 30 minit, anggota pasukan keselamatan berjaya menembusi pertahanan dan menawan kubu musuh sekali gus menamatkan penguasaan tentera musuh di bukit ladang kelapa sawit berkenaan.
Kejayaan menawan semula puncak bukit itu menjadi simbolik kepada majlis penutup Eksesais Belangkas Siri 27/2013 yang dijalankan di Kampung Telok Gong, Pengkalan Balak, Melaka.
Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan TD, Mejar Jeneral Datuk Abdul Samad Yaakob berkata, latihan itu juga bertujuan menguji keberkesanan sistem komunikasi antara perkhidmatan, khasnya kemampuan komunikasi kapal ke darat.
"Latihan ini juga berperanan menguji keberkesanan teknik, taktik dan prosedur terhadap penggunaan platform amfibia yang dikenal pasti serta melatih kedua-dua komponen TD dan TLDM dalam melaksanakan operasi pendaratan amfibi," ujarnya.


Kenderaan berperisai turut digunakan dalam Eksesais Belangkas yang merupakan persediaan sebelum ATM mengadakan latihan bersama dengan tentera Amerika Syarikat.
Menurut Abdul Samad, beliau berpuas hati dengan prestasi anggota pasukan terbabit dan menyifatkannya sebagai berjaya mencapai matlamat.
"Melalui latihan itu, anggota kita dilepaskan seolah-olah menawan semula pekan Telok Gong yang ditawan oleh pihak musuh.
"Kita juga dapat menguji kecekapan, kebolehan dan kemantapan infantri 10 Briged Para termasuk yang lain dan mereka berjaya melaksanakan misi," katanya.
Latihan yang berakhir pada pukul 2 petang itu turut dihadiri Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Tengku Ahmad Noor Tuan Chik; Pegawai Memerintah KD Sri Mahawangsa, Kapten Roslee Mohammad Isa dan Pegawai Staf 2 Markas Operasi Udara Kementerian Pertahanan, Mejar Izwan Zainal Amran.
Selain itu ujar Abdul Samad, latihan tersebut merupakan persediaan TD untuk menghadapi latihan gabungan antara ATM dengan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) dan Kor Marin Amerika Syarikat (USMC).
Latihan yang yang dikenali sebagai Exercise Cooperation Afloat Readiness and Training (EX CARAT) bakal diadakan di Kuantan, Pahang pada 15 hingga 23 Jun ini.
"Pihak USN sering mengadakan latihan tersebut di negara ini atas faktor kebolehan tentera kita berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris selain penggunaan terma ketenteraan kedua-dua negara yang tidak jauh berbeza," katanya.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130529/ba_06/Bukti-kesediaan-TD#ixzz3P7nrFaUe 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis