Jun 16, 2010

Perang Pangkor, uji kesiagaan TLDM





Panglima Markas Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Badarudin turut meluangkan masa menyaksikan eksesais perang pangkor di Lumut, baru-baru ini.




WALAUPUN negara sentiasa berada dalam keadaan aman, kesiagaan sesebuah pasukan keselamatan amat penting untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya perang dan mempertahankan kedaulatan negara.
Sekiranya perang meletus, pasukan keselamatan perlu bersedia bukan sahaja dari segi kecekapan anggota tetapi turut merangkumi aspek persenjataan, teknikal dan taktikal.
Justeru, bagi sesebuah angkatan perang, latihan berkala secara kerap merupakan landasan yang terbaik untuk menguji kesiagaan pasukan secara menyeluruh.
Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), eksesais Perang Pangkor merupakan latihan yang paling kerap diadakan saban tahun untuk menguji kesiagaan pasukan dan meningkatkan kepakaran mereka dari semasa ke semasa.
Apa yang lebih penting, eksesais tersebut merupakan pentas untuk menilai keupayaan TLDM dalam melaksanakan misi sebenar.











Eksesais yang mula diperkenalkan pada 2006 itu digelar Perang Pangkor kerana ia diadakan di perairan Pulau Pangkor, tidak jauh dari Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Namun, latihan tersebut sebenarnya berasal daripada eksesais ‘Thursday War’ (Perang Khamis) yang diamalkan oleh Tentera Laut Diraja United Kingdom tetapi di sini, ia diadakan pada hari Rabu dan bukan secara mingguan.
Eksesais Perang Pangkor biasanya melibatkan semua kapal TLDM yang beroperasi pada hari tersebut termasuk dari pangkalan TLDM di Kuantan dan Sabah.
Pada 28 April lalu, TLDM sekali lagi mengadakan eksesais Perang Pangkor dan buat pertama kalinya, wartawan daripada pelbagai pertubuhan media diberikan peluang untuk ikut serta.
Latihan yang bermula dari pukul 1.30 petang hingga hampir pukul 1 pagi itu melibatkan kapal KD Kedah, KD Lekiu, KD Sri Indera Sakti, sebuah helikopter Fennec dan helikopter Superlynx, dua buah pesawat Hawk TUDM dan tiga bot Pasukan Khas Laut (Paskal).
Aspek pertama yang diuji ialah kecekapan Paskal KD Panglima Hitam untuk mengambil alih kapal perang dan membebaskan tebusan.
Dalam latihan tersebut, sebuah helikopter Fennec yang menempatkan penembak tepat menghampiri kapal KD Sri Indera Sakti dan berlegar-legar di udara untuk mengelirukan pihak musuh.
Pada masa sama, anggota Paskal yang menaiki dua bot tiba dan memanjat kapal dari bahagian belakang serta tengah untuk menyusup masuk ke dalam kapal tersebut dan diikuti satu lagi kumpulan Paskal yang turun di bahagian belakang kapal menggunakan tali dari sebuah helikopter Superlynx.
Dalam tempoh 10 hingga 12 minit sahaja, seramai 32 anggota Paskal berkenaan sudah berjaya menawan kapal KD Sri Indera Sakti dan membebaskan tahanan.
Ketua Markas Armada TLDM, Laksamana Pertama Mior Rosdi Mior Mohd. Jaafar berkata, senario tersebut boleh dilihat daripada pelbagai aspek sama ada membebaskan kapal yang ditawan musuh dan membebaskan krew atau merampas kapal milik pihak lawan.
Katanya, kemampuan Paskal menyelesaikan operasi tersebut dalam tempoh kurang 12 minit menunjukkan keupayaan serta kecekapan pasukan itu untuk menghadapi situasi sebenar.
“Jika kapal milik Malaysia ditawan oleh lanun, TLDM boleh mengerahkan Paskal untuk merampas semula kapal tersebut walaupun di perairan negara mana sekalipun ia berlaku,” katanya semasa eksesais Perang Pangkor Siri Siri 6/2010 di Lumut baru-baru ini.
Selepas berjaya menguji kemampuan Paskal menangani ancaman atas permukaan air, kini tiba giliran kapal-kapal TLDM pula diuji dalam menghadapi ancaman di udara.
Dalam ujian itu, dua pesawat Hawk TUDM berkali-kali melintasi Kapal Sri Indera Sakti, KD Lekiu dan KD Kedah untuk menguji kemampuan sistem radar dan pertahanan kapal-kapal tersebut.
Kemampuan kapal-kapal TLDM melakukan gerakan sukar menggunakan kemahiran tinggi turut diuji selain pemindahan barang atau orang dari kapal ke kapal atau lebih dikenali sebagai ‘jackstay’.
Tidak lengkap latihan TLDM sekiranya sistem persenjataan kapal tersebut tidak diuji keberkesanannya terutamanya bagi memastikan ia benar-benar boleh digunakan.
Oleh itu, pada sebelah malam, ketiga-tiga buah kapal yang terlibat dalam eksesais tersebut melakukan latihan penembakan untuk menguji ketepatan tembakan sistem persenjataan di kapal-kapal berkenaan.
Caranya, tembakan 'military flares' atau tembakan cahaya api tentera dilepaskan ke udara dan ketiga-tiga kapal tersebut menembak ke arah cahaya yang dijadikan sebagai arah sasaran.
Latihan tersebut diadakan di sebuah kawasan di perairan Selat Melaka yang diwartakan khas untuk latihan ketenteraan, kira-kira 45 kilometer dari Pangkalan TLDM Lumut.
Selain itu, TLDM turut mengadakan latihan melawan kebakaran dan mencegah banjir supaya anak-anak kapal sentiasa bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan jika keadaan tersebut berlaku di kapal masing-masing.
Mior Rosdi yang ditemui selepas tamatnya latihan itu, berkata, eksesais Perang Pangkor kali ke-6 pada tahun ini berjaya mencapai objektifnya untuk menguji kemampuan TLDM untuk menghadapi pelbagai bentuk peperangan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis