Jul 21, 2014

TLDM tambah aset di timur Sabah




SEPANGGAR 20 Julai - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menempatkan pelbagai aset ketenteraan di pantai timur Sabah sebagai langkah serius menangani kegiatan penjenayah di kawasan perairan tersebut.
Perkara itu ditegaskan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang menyatakan antara aset tersebut termasuk kapal Bunga Mas 5, yang pernah berkhidmat mengekang lanun di Teluk Eden sebagai markas atas laut.
Menurutnya, aset lain adalah bot pemintas laju yang mampu memperkukuhkan pengawasan di perairan.
"Sebanyak tiga buah bot pemintas CB90 serta bot RHIB yang digunakan oleh Pasukan Khas Laut (Paskal), dua buah bot baharu iaitu Silver Brize serta bot P38 yang baharu diterima TLDM pada Disember lalu turut ditempatkan di kawasan terbabit.
"Tujuan penempatan aset ini adalah bagi memudahkan gerak memintas secara lebih pantas ke atas kumpulan penjenayah yang cuba membolosi perairan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa warga TLDM Kota Kinabalu bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini semalam.
Yang turut hadir ialah Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohd. Rosland Omar.
Dalam majlis itu, Sultan Selangor turut sudi mencemar duli menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan saudara baharu.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, tindakan menempatkan kapal Bunga Mas 5 adalah tepat kerana kapal tersebut dilengkapkan dengan radar pengawasan dan berupaya mengoperasikan helikopter untuk melakukan tinjauan jauh.
Jelas beliau, helikopter yang berkeupayaan untuk beroperasi pada waktu malam itu dilihat pilihan terbaik dalam menjaga perbatasan negara daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu tambahnya, TLDM juga sudah mengatur gerak sebuah kapal perang iaitu KD Lekiu yang turut dilengkapkan dengan sebuah pesawat Super Link ke Sabah bagi menjaga perairan di sempadan.
Katanya, keupayaan semua aset itu diharap dapat memantapkan lagi aktiviti pengawasan tentera.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140721/dn_19/TLDM-tambah-aset-di-timur-Sabah#ixzz3P7oaORkP 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis