Mar 13, 2011

Malaysia-India setuju atasi masalah lanun

HUTAN MELINTANG 12 Mac - Kementerian Pertahanan mengalu-alukan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan India berhubung usaha untuk mengatasi masalah kegiatan lanun terutama di perairan Lautan Hindi dan Teluk Aden.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara ini telah dibincangkan dalam siri lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri India, Manmohan Singh di India, baru-baru ini.

Menurutnya, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menjalinkan kerjasama di antara Tentera Laut Malaysia dan India untuk melindungi kapal dari kedua-dua negara daripada ancaman lanun.

"Kita mengalu-alukan komitmen India untuk membentuk kerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana lanun dari Somalia berada lebih 1,000 kilometer di Perairan Teluk Aden ke Lautan Hindi yang meliputi persempadanan negara itu.

"Kejayaan ini dapat kita lihat apabila Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang telah menyelamatkan 29 kapal dagang dari Malaysia khususnya daripada MISC dan mana-mana kapal dagang yang memohon untuk dilindungi dalam konvoi Ops Fajar yang ke-9 yang menggunakan Kapal Bunga Emas 5 daripada diserang lanun terutamanya di Teluk Aden" katanya selepas merasmikan Program Mesra Rakyat di Taman Kayangan, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kejayaan Malaysia dalam menangani kegiatan lanun di Perairan Teluk Aden dan kawasan sekitar mendapat perhatian dunia.

Copyright@Utusan.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis