KOTA KINABALU 6 Ogos - Kapal selam KD Tunku Abdul Rahman buat julung kalinya diintegrasikan bersama Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam Latihan Kemahiran Laut dan Latihan Integrasi Kapal Selam di perairan Laut China Selatan.
TLDM dalam satu kenyataan berkata, latihan itu yang dilancarkan pada 29 Julai di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan berakhir hari ini, merupakan latihan yang pertama kali melibatkan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman bersama 10 lagi kapal perang dalam Armada TLDM selain pesawat Super Lynx dan Fennec.
Menurutnya, dengan memiliki kapal selam sendiri, TLDM tidak lagi perlu bergantung kepada penglibatan kapal selam tentera laut asing untuk melatih kapal-kapal penangkis kapal selam TLDM dalam taktik dan prosedur peperangan.
"Turut serta adalah Pasukan Khas Laut (Paskal), kumpulan penyelam dan pasukan pertahanan udara, dua buah pesawat pejuang Hawk dan pesawat maritim Beechcraft serta Helikopter Nuri dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Latihan ini melibatkan lebih 1,000 anggota TLDM dan TUDM," menurut kenyataan itu.
Latihan kemahiran laut ini lazimnya dilakukan tiga kali dalam setahun oleh setiap Markas Wilayah iaitu Markasa Armada di Lumut (Perak), Markas Wilayah Laut 1 di Tanjung Gelang (Pahang), Markas Wilayah 2 di Kota Kinabalu, dan Markas Wilayah Laut 3 di Langkawi.
Namun ia kini dikurangkan kepada hanya sekali setahun bagi menjimatkan perbelanjaan dan untuk latihan kali ini, kesemua latihan di peringkat wilayah digabungkan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment