Apr 23, 2015

Taklut Selat Dinding

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

sukan@hmetro.com.my


Lumut: Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) muncul juara keseluruhan Kejohanan Renang Selat Sempena Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM Ke-81, baru-baru ini.

Seramai 115 anggota TLDM dan lapan awam termasuk seorang peserta paralimpik dari kontinjen Terengganu menyertai acara renang sejauh 2.05 kilometer (km) yang dilepaskan Panglima Armada Laksmana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli di Selat Dinding, Pangkalan TLDM, Lumut pada jam 8.30 pagi.

Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Panglima Hitam PASKAL Unit 1 Komander Mohd Redzuan Talib berkata, kelebihan latihan yang dijalankan setiap minggu ‘bonus’ untuk pasukannya memenangi kejohanan berkenaan.


“Renang 3.2km salah satu rutin mingguan yang dilalui setiap anggota PASKAL dan latihan itu menjadi kelebihan pasukan kami.

“Dua perenang PASKAL juga pernah menyertai renang Selat Inggeris pada 2013 dan kehadiran mereka membantu kami muncul juara keseluruhan,” katanya.

Pada kejohanan kali ini, dua kategori dipertandingkan iaitu bawah 34 tahun (B-34) yang menyaksikan juara dimenangi Bintara Muda (BM) Laurance Gerang dengan catatan 26.57 minit, naib juara, Laskar Kanan (LK) Roslan Zawawi (26.74m) dan ketiga, LK Estino Tanayu (27.16m).

Sementara itu, kategori 35 tahun ke atas diungguli Bintara Kanan Ramuyan Talit (28.36m), tempat kedua BM Fitri Habu (30.30m) dan ketiga Pegawai Waren I Jeffry Mugah (31m).

Wakil paralimpik Mohd Sabki Arifin yang menerima jemputan daripada TLDM menduduki tempat ke-14 bagi kategori B-34.

SEBAHAGIAN peserta bergambar kenangandi Jeti Operasi Pangkalan TLDM, Lumut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 8:40 AM

See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45727#sthash.ZZ5CoqoG.dpuf

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis