Apr 29, 2010

Kerjasama Paskal-Denjaka tumpaskan puak pemisah

Utusan Malaysia Online - Polis & Tentera


ANAK-anak kapal MV Sandura Cekal sedang dikenal pasti bagi memastikan mereka bukan anggota pengganas yang menyamar, selepas serbuan dilakukan.


PAGI 2 April lalu merupakan hari istimewa buat kira-kira 30 anak kapal pengangkut minyak MV Sandura Cekal, sebuah syarikat perkapalan yang didaftarkan di Indonesia.

Walaupun masing-masing belum puas menatap keindahan bandar pelabuhan Kochi (dahulu Cochin) di Kerala, India itu, perasaan rindu terhadap kaum keluarga di tanah air membuatkan mereka mahu segera membereskan kerja.

Tepat pukul 9 pagi waktu tempatan di Kochi, MV Samudera pun berangkat meninggalkan pelabuhan.

Destinasinya ialah Indonesia. Selepas itu anak-anak kapal boleh bercuti panjang dan pulang ke kampung halaman masing-masing. Ada warga Malaysia, Indonesia, Filipina dan Singapura dalam 'perut' kapal tersebut.

Selepas hampir seharian mereka belayar, MV Sandura Cekal 'dirampas' oleh sekumpulan 'puak pemisah' digelar Bravo atau disebut irredentist dalam kajian antarabangsa.

Kumpulan itu nekad 'merampas' MV Sandura Cekal dan menjadikan kesemua anak kapalnya sebagai 'tebusan'.

Selepas berjaya melakukan rampasan di Lautan Hindi, kumpulan Bravo yang diketuai 'pengganas' bernama Kassim Abu Bakar mengarahkan kapten Sandura Cekal supaya menukar haluan ke arah Laut China Selatan melalui Selat Melaka.

Pertukaran arah itu bagaimanapun dikesan ibu pejabat Biro Maritim Antarabangsa (IMB) berpangkalan di United Kingdom. Selepas beberapa siri komunikasi radio dengan kapten Sandura Cekal dan Kassim, IMB mengesahkan kapal malang itu telah ditawan 'pengganas'.

Kerjasama Malindo

Berita itu segera disampaikan kepada pihak pemerintah Malaysia dan Indonesia memandangkan MV Sandura Cekal yang 'ditawan' berada di perairan Malaysia serta didaftarkan di Indonesia.

Ketua kumpulan Bravo, Kassim juga meminta wang tebusan sebanyak RM160 juta sebagai pampasan membebaskan MV Sandura Cekal dan anak-anak kapalnya.

Hasil usaha sama yang terjalin selama ini, pemerintahan kedua-dua negara bersetuju supaya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI-AL) menggerakkan pasukan khusus masing-masing untuk menamatkan krisis.

Melalui arahan yang dikenali sebagai Perintah Tetap (Protap) 17 dan 18 itu juga, sepasukan anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM dan Detasmen Jala Mengkara (Denjaka) TNI-AL digerakkan ke perairan Selat Melaka.

Kapal induk KD Terengganu dijadikan penempatan bagi menggerakkan serbuan ke atas Sandura Cekal jika rundingan menemui jalan buntu.

Setelah beberapa jam berunding dan persetujuan gagal dicapai, pemerintahan kedua-dua negara mengambil keputusan untuk menggerakkan kesemua anggota Paskal dan Denjaka.

Ia dimulakan dengan kehadiran helikopter Fennec Skuadron 502 TLDM bagi mengalihkan perhatian 'pengganas'.

Semasa para 'pengganas' sibuk mengawasi dan menembak Fennec, sebuah bot membawa anggota Paskal dan sebuah lagi daripada Denjaka menghampiri MV Sandura Cekal dari sisi kiri dan kanan kapal itu.

Lima anggota unit selam Paskal pula menghampiri kapal berkenaan dari sebuah bot yang menyamar sebagai nelayan dan memanjat MV sandura Cekal secara senyap.

Serentak dengan itu juga, sepasukan anggota Denjaka tiba di atas MV Sandura Cekal dengan helikopter Bell 412 dan turun ke atas geladak kapal tersebut menggunakan teknik fast-roping.

Dengan ketepatan masa dan kelicinan operasi, kesemua anak kapal MV Sandura Cekal berjaya diselamatkan dalam tempoh kira-kira setengah jam.

Semua 'pengganas' dikumpulkan di geladak atas kapal. Tebusan cedera atau dikategorikan sebagai berprofil tinggi dibawa keluar daripada MV Sandura Cekal menggunakan helikopter.

Ternyata, senario rampasan dan pembebasan MV Sandura Cekal membuktikan kejayaan Eksesais Malindo pada kali ini.

Ia juga memperlihatkan keupayaan kedua-dua angkatan laut negara berjiran itu mampu mengawal keselamatan di perairan Selat Melaka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis